Wednesday, December 6, 2017

1MDB: Jeff Sessions seperti kakak tua yang hanya mengulang cerita orang sebelumnya



1. Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Jeff Sessions sekadar mengulangi kenyataan Peguam Negara AS sebelumnya tanpa menyedari hakikat saman sivil Jabatan Kehakiman AS (DOJ)  tiada kaitan secara langsung dengan 1MDB.

2. Kenyataannya bahawa kononnya dakwaan korupsi berkaitan 1MDB merupakan "kleptokrasi pada tahap paling parah" dan AS sedang berusaha untuk memberikan "keadilan kepada mangsa-mangsa yang terbabit" membuktikan Sessions tidak memahami fakta kes berkaitan. Lebih-lebih lagi apabila dokumen saman sivil ini hanyalah berdasarkan aduan dan andaian semata-mata sedangkan FBI belum lagi melakukan sebarang penyiasatan yang berjaya mengadakan bukti yang melangkaui keraguan yang munasabah.

3. Siapakah "mangsa-mangsa terbabit" dalam dakwaan Sessions? Apabila saya bertanyakan soalan kepada Thomas Goldstein, antara peguam Mahkamah Agung berpengalaman di AS mengenai justifikasi DOJ memfailkan saman ini dengan mengaitkannya dengan 1MDB sedangkan 1MDB tidak pernah membuat aduan dan mengaku dana atau wang kepunyaannya dicuri? Goldstein mengakui bahawa kes ini agak pelik kerana 1MDB bukan pengadu dan tidak mengakui kehilangan wang. Mungkin kerana ada pihak yang beranggapan bahawa AS merupakan "polis dunia" maka saman sivil difailkan kononnya untuk memberi keadilan kepada rakyat Malaysia dan 1MDB. Goldstein juga menjelaskan DOJ berada dalam kebuntuan kerana 1MDB menegaskan bahawa wang yang didakwa hilang itu bukan wang mereka, sedangkan kes ini adalah dibina atas kepercayaan bahawa wang ini diambil dari 1MDB berdasarkan aduan yang dibuat oleh pihak yang tidak mewakili 1MDB.

4. Apabila saya tanyakan juga, sehingga kini hanya International Petrolium Investment Company (IPIC), dana kekayaan milik kerajaan Abu Dhabi yang mengadu kehilangan wang; kenapakah DOJ tidak menyiasat IPIC dan bagaimanakah mereka mahu memulangkan wang kepada IPIC sekiranya mereka menyiasat kes ini di bawah inisiatif kleptokrasi kerana IPIC tidak menerima dana daripada rakyatnya tapi dari pemerintahnya? Goldstein menjawab, terdapat kemungkinan DOJ tidak mengetahui apa yang sedang mereka hadapi dalam kes ini kerana tiada pengadu (di kalangan pihak yang kehilangan wang).

5. Mungkin elok dimaklumkan kepada Sessions bahawa kes di Singapura tiada kaitan langsung dengan 1MDB kerana 1MDB tiada akaun di sana. The Guardian melaporkan bahawa Monetary Authority of Singapore (MAS) mengarahkan Falcon Bank menghentikan operasi atas sebab “persistent and severe lack of understanding” of Singapore’s money laundering controls." Atas sebab ini Falcon Bank diarahkan untuk ditutup. Bukan atas sebab lain, termasuk 1MDB. Bukan Falcon Bank sahaja yang mempunyai kelemahan ini, tetapi Development Bank of Singapore (DBS) (10 kesalahan), Union Bank of Switzerland (UBS) (13 kesalahan) dan BSI Bank (41 kesalahan).

6. Mungkin Sessions perlu dimaklumkan bahawa kes di Luxembourg juga tiada kaitan dengan 1MDB. Menurut Finews Asia dalam laporan bertajuk "Rothschild bleeds for 1MDB", Marc Ambroisien bekas pengarah bank Rothschild di Luxembourg dinamakan sebagai individu yang bertanggungjawab menyebabkan bank Swiss ini terbabit dalam apa yang didakwanya sebagai 'skandal 1MDB'. Dalam laporan yang sama Finews menyebut "he allegedly accepted Khadem Al Qubaisi, former boss of Abu Dhabi state fund IPIC, as a client and carried out transfers of funds from 1MDB, originally set up as a Malaysian development fund, for him. Al Qubaisi is alleged to have even gifted Ambroisien with an Aston Martin for his services."

7. Laporan Finews Asia jelas menyebut bahawa individu yang dikatakan mengakibatkan Rothschild terbabit dalam 'skandal' ini adalah Ambroisien dan Ambroisien TIDAK dikaitkan dengan Arul Kanda, Shahrul Azral Ibrahim Halmi atau 1MDB sebaliknya dengan Al Qubaisi, dan seharusnya kaitan itu berterusan, iaitu kepada  IPIC, Aabar Investment PJS, Falcon Private Bank dan Abu Dhabi.

8. Adalah lebih tepat jika Sessions dan DOJ mengaitkan denda terhadap Bank Edmond de Rothschild Luxembourg ini dengan IPIC kerana 1MDB tidak mempunyai akaun dengan Rothschild. Qubaisi adalah pelanggan kepada Rothschild dan ketika itu, Qubaisi merupakan Pengarah Urusan IPIC, Pengerusi Aabar Investment PJS, iaitu anak syarikat IPIC dan bekas Pengerusi Falcon Private Bank, iaitu bank Swiss yang dimiliki oleh Abu Dhabi melalui Aabar Investment PJS.

9. Mungkin lebih wajar Sessions terlebih dahulu menjawab soalan-soalan ini sebelum terus membuat kenyataan, iaitu pertama, mengenai siapa sebenarnya yang kehilangan wang, IPIC atau 1MDB agar mudah mereka membuat keputusan untuk memulangkan kepada siapa hasil segala rampasan aset yang didakwa 'dari wang yang dicuri' ini. Kedua, jika pihak yang kehilangan wang ini adalah IPIC, bilakah mereka mahu mula menyiasat IPIC dan adakah wajar DOJ menggunakan inisiatif kleptokrasi jika mereka bercadang untuk memulangkan wang hasil rampasan ini kepada IPIC dan Abu Dhabi.


TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

Monday, November 6, 2017

GST dan Cukai: Tony Pua, mungkin MP paling TAK CERDIK di dunia jika lihat cara dia tafsir #Bajet2018


Sekurang-kurangnya ada 2 kenyataan TIDAK CERDIK Tony Pua apabila dia mengulas mengenai Bajet 2018 dalam video di bawah.

Pertama apabila dia menyebut, banyak pemberian yang diberi, tapi semuanya dari cukai dan ini adalah "Bajet Cukai".

Kedua, apabila dia menyatakan, GST kutip lebih tinggi RM40 bilion sedangkan SST kutip hanya RM17 bilion.

Pertama, mungkin Tony Pua tak faham mengenai HASIL KERAJAAN.  Untuk makluman Tony Pua, HASIL KERAJAAN bukan datang dari sumber CUKAI semata-mata. Jadi tidak tepat dari segi istilah, undang-undang dan prosedur kewangan untuk mengistilahkan Wang Perbendaharaan atau Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan sebagai wang pembayar cukai.

HASIL-HASIL KERAJAAN Persekutuan diterima daripada 4 sumber berikut:-

1. Hasil Cukai yang terdiri dari Hasil dari CUKAI LANGSUNG (contoh Cukai Pendapatan) dan Hasil dari CUKAI TAK LANGSUNG (Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan, GST)

2. Hasil Bukan Cukai iaitu "hasil dari perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan" (contoh permit, sewaan, lesen, bayaran perkhidmatan)

3. Terimaan Bukan Hasil iaitu kutipan hasil bayaran balik atau terimaan dari perkhidmatan (contoh bayaran balik pinjaman pendidikan, gaji terlebih bayar, bayaran balik penggunaan telefon pejabat)

4. Hasil Wilayah Persekutuan, iaitu hasil dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. (contoh Cukai Tanah, Duti Hiburan, Lesen, Permit)

Dari RM280.25 bilion pendapatan negara ini,

1. 31.6% hasil kerajaan datang dari sumber bukan cukai (contoh permit, yuran perkhidmatan, jualan perkhidmatan, jualan barang dan harta, saman, denda, sewa, hasil dari pelaburan)

2. 42.6% dari cukai pendapatan (contoh cukai pendapatan syarikat, cukai pendapatan individu, cukai pendapatan petroleum)

3. 22.8% dari cukai tidak langsung (contoh GST, duti eksport, duti import, duti eksais, cukai jalan)

4. 3.0 % dari cukai langsung yang lain (contoh duti setem, cukai ke atas keuntungan hartanah)

5. 14.4% dari pinjaman dan penggunaan aset kerajaan.

Kenapa kutipan cukai pendapatan bertambah? Kerana projection peningkatan pendapatan syarikat dan petroleum juga bertambah. Tony Pua mungkin lupa, anggaran Bajet Alternatif dibuat atas andaian permintaan dalaman meningkat kerana kononnya bila SST dilaksanakan semula, harga barang akan menjadi lebih murah dan permintaaan dalaman akan meningkat disebabkan itu. Apakah sumber utama Bajet Alternatif? CUKAI. Jadi kenapa Tony Pua tak kata Bajet Alternatif itu Bajet Cukai? Selangor dalam bajetnya meningkatkan unjuran hasil daripada cukai dan premium tanah. Kenapa Tony Pua tak kata, Bajet Selangor adalah Bajet Cukai dan Jualan Tanah?

Kedua, Tony Pua kata dulu SST hanya RM17 bilion (sebenarnya data Tony Pua salah, jumlah sebenar RM13 bilion), tapi tahun depan kenapa GST kutip RM42 bilion dan kesimpulan tidak cerdik Tony Pua ialah, digambarkan seolah-olah peningkatan kutipan GST berbanding SST adalah bukti rakyat terbeban.

Ini satu lagi cara tafsiran songsang Pakatan. Bila mereka kembali kepada SST dan kutip kurang RM20 bilion, TIDAK BERMAKSUD RAKYAT TIDAK TERBEBAN.

Kenapa apabila Pakatan kembalikan SST, kutipannya menjadi kurang? Jawapannya - berlaku ketirisan, penipuan, pengelakan cukai, terdapat syarikat yang terlepas dari kutipan dan ada sejumlah golongan, misalnya warga asing, terlepas dari membayar cukai SST.

Adakah rakyat tidak terbeban? Sebenarnya rakyat lebih terbeban kerana cukai jadi berganda, barangan dengan Cukai Jualan 10% boleh menjadi hampir 20% apabila sampai ke tangan pembeli akibat pengambilan margin, cukai jadi bertindih kerana barangan dengan Cukai Jualan 20% boleh jadi hampir 40% dengan pengambilan margin dan sekiranya terdapat Cukai Perkhidmatan 6% sebelum barangan sampai ke tangan pengguna, cukai sebenar yang dibayar boleh mencecah nilai sehingga 46%.

Dengan mengembalikan SST, bukan sahaja Tony Pua tidak bertanggungjawab kerana mengakibatkan negara kehilangan hasil Cukai Jualan, malah mengakibatkan rakyat terpaksa membayar kadar cukai yang lebih tinggi tetapi cukai ini tidak sampai ke tangan kerajaan sebaliknya hanya menguntungkan golongan peniaga.

Selain itu, Tony Pua juga tidak bertanggungjawab kerana mengakibatkan negara kehilangan hasil Cukai Pendapatan. Apabila terlaksana semula SST maka lebih ramai peniaga yang boleh menipu jumlah pendapatan dan mengelak dari membayar cukai pendapatan dengan lebih mudah.

Kenapa jumlah GST meningkat jauh lebih tinggi berbanding SST? Antara sebabnya adalah, pertama, ketirisan dapat dielakkan, kedua, lebih banyak syarikat mendaftar untuk mengutip GST bagi membolehkan mereka menuntut cukai input, ketiga, lebih banyak syarikat mendaftar bagi mengelakkan mereka didenda, ternasuk syarikat-syarikat yang terlibat dengan 'shadow economy', keempat, warga asing, termasuk pelancong, pegawai dagang, tenaga kerja asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) juga turut membayar GST, kelima, unjuran kedatangan pelancong asing meningkat sebanyak 4.3%, keenam, peningkatan permintaan dalaman, bukan sahaja disebabkan oleh individu tetapi juga oleh syarikat-syarikat.

Sunday, November 5, 2017

Dr Mohamed Abdul Khalid jangan kutip info dari longkang mengenai pengambilan MRSM dan SBP


Saya dok perhati saja video wawancara Dr Muhammed Abdul Khalid ni. Pada saya dia ni terlalu obsessed dengan data, sampai cara dia mentafsirkan pun ada tempatnya tak kena. Dia pula asyik nak bercakap, macam la semua yang dia cakap tu betul sangat. 

Nak dijadikan hal, ada orang tweet petikan video dia dan dia bercakap pasal benda yang dia tak tahu dan petik maklumat entah dari tepi jalan mana.

Kata Dr Mohammed ni, "dalam bidang pendidikan, sekarang negara kita bukan ke arah negara yang equal. Sebelum ni, dia kata negara kita beri penekanan kepada orang susah sebelum bagi masuk SBP, MRSM dan biasiswa. Sekarang semuanya online, jadi mcm mana orang di luar bandar?"

Jadi untuk Dr Mohammed yang bercakap tanpa maklumat dan data, tapi masih nak bercakap macam dia tahu semua, kita beri dia maklumat sedikit supaya dia perbaiki sikit sifat angkuh, ujub dan takbur dia tu. Di bawah adalah info dari MRSM sendiri.

1. Dasar penubuhan MRSM adalah untuk memberi peluang kepada pelajar Bumiputera bandar dan luar bandar yang cemerlang dan dari keluarga berpendapatan rendah untuk mendapat pendidikan yang berkualiti.

2. Walaupun kaedah permohonan pelajar ke MRSM adalah menggunakan sistem online, pihak MRSM turut mengadakan beberapa cara untuk membantu proses permohonan, terutamanya bagi para pelajar di luar bandar dan pendalaman. Di antaranya:-

A. Program Outreach MRSM bersama  dengan sekurang-kurangnya 5 buah sekolah harian berdekatan untuk mengenalpasti calon-calon dari kumpulan B40 yang layak dan berminat untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM.  Pelajar ini dikumpul dan dibantu untuk membuat permohonan online di MRSM berdekatan.

B.  Pengiraan merit  berdasarkan Social Economic Standing (SES) bagi pelajar B40 telah dinaikkan bagi membolehkan mereka mendapat markah (weightage) yang lebih tinggi untuk meningkatkan lagi peluang  tawaran untuk belajar di MRSM.

C. Kerjasama MARA dengan JAKOA dan Pejabat Agama Negeri untuk mengenal pasti anak golongan asnaf dan orang asli untuk diberi peluang ke MRSM.

D. Bagi Sarawak & Sabah, program outreach turut dilaksanakan di kawasan pendalaman untuk mencari pelajar yang berpotensi dan dibantu untuk membuat permohonan ke MRSM. Program outreach di kawasan pendalaman ini bukan sahaja disertai oleh guru-guru MRSM, malah turut dibantu oleh para Pegawai MARA Daerah di seluruh negara.

E. MARA turut memperuntukkan Skim Budi yang mana para pelajar yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pelajaran di MRSM dengan tajaan daripada MARA dan juga pihak luar.

3. Jumlah pelajar B40 yang sedang belajar di MRSM di seluruh negara adalah seramai 20,011 orang.

4. Jumlah pelajar M40 yang sedang belajar di MRSM di seluruh negara adalah seramai 12,725 orang.

5. Peratus pelajar B40 dan M40 di dalam MRSM seluruh Malaysia adalah sebanyak 86%. Jumlah pelajar semasa adalah sedamai 37,752. Jumlah pelajar luar bandar adalah 23,628 (63%) dan jumlah pelajar bandar adalah 14,124 (37%).

Justeru itu, dakwaan Dr Mohammed yang mengatakan bahawa MRSM tidak mengutamakan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah adalah SALAH SAMA SEKALI. Eloklah Dr Mohammed ni kurangkan bercakap dan belajar mendengar. Jangan ingat diri tahu semua perkara. Kalau tak berhenti bercakap, masa bila nak belajar benda-benda yang awak tak tahu?

Can't say he is wrong about SBP and MRSM? He is TOTALLY WRONG.

Thursday, October 26, 2017

Apa guna hapus GST, kembalikan SST jika Pakatan tak berani jamin harga barang boleh turun

10 PERKARA YANG DIJANGKA BERLAKU JIKA PAKATAN BERJAYA HAPUS GST

1. Dalam Bajet Alternatif 2018 yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan, mereka berhasrat untuk memansuhkan GST, tetapi mengekalkan kadar sifar (0%) GST dan melaksana semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar lama.

2. Sukar memahami bagaimana Pakatan mahu melaksana sifar GST dan melaksanakan SST pada waktu yang sama. Apapun kita tahu sebelum ini SST mempunyai beberapa kadar, iaitu kadar standard 10% dan kadar-kadar lain adalah 5%, 20% dan kadar spesifik seperti 58 sen bagi setiap liter petrol dan diesel.

3. Apakah kesan yang boleh dijangka jika Pakatan berjaya melaksanakan GST 0% dan SST 10%, 5%, 20% dan 58 sen bagi setiap liter petrol, diesel? Berikut adalah perkara-perkara yang berkemungkinan besar berlaku:-

I. Sistem percukaian yang huru hara kerana terdapat dua sistem,  iaitu GST 0% dan SST pada empat kadar

II. Pengguna dicukai dua kali,  misalnya di kedai tayar. Kali pertama, Cukai Jualan 20% untuk harga tayar, kali kedua dikenakan Cukai Perkhidmatan 6% pula.

III. Cukai Jualan di'mark-up' bersama harga barangan kerana tiada kaedah 'tuntutan cukai input'. Jika Cukai Jualan di peringkat pembekal adalah 5%, selepas pengambilan margin 25% oleh pemborong dan 50% oleh peruncit, kadar 5% tadi boleh meningkat menjadi 10% apabila sampai ke tangan pengguna.

IV. Di bawah SST, petrol dan diesel mempunyai Cukai Jualan 58 sen seliter

V. Berlaku ketirisan dan pengelakan Cukai Jualan di peringkat pembekal, pengilang dan pengeksport.

VI. Shadow Economy dan Black Economy akan hidup subur kembali.

VII. Peniaga membuat perisytiharan palsu Cukai Pendapatan dengan lebih mudah kerana kerajaan sukar menganggar margin keuntungan menerusi sistem SST

VIII. Peniaga boleh menaikkan harga barangan secara melampau dengan lebih mudah kerana apabila cukai input tidak dituntut dan tiada cukai dikutip semasa barangan dijual kepada pengguna, agak susah untuk membuat anggaran margin yang diambil oleh peniaga untuk dikenakan tindakan.

IX. Perbelanjaan mengurus akan meningkat kerana Bajet Pakatan tidak mengambil kira impak 0% GST, di mana bagi barangan dengan kadar sifar GST, cukai inputnya boleh dituntut.

X. Tiada pemimpin Pakatan yang berani menjamin bahawa HARGA BARANG AKAN TURUN selepas menghapuskan GST dan kembali kepada kadar lama SST

4. Kalau TIADA PEMIMPIN PAKATAN YANG BERANI MENJAMIN BAHAWA HARGA BARANG AKAN TURUN selepas PEMANSUHAN GST dan MENGEMBALIKAN SST, maka apa gunanya Pakatan beriya-iya mahu memansuhkan GST dan kembali melaksanakan SST?

Oleh:
TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

Tuesday, October 24, 2017

Zahid betul, Jho Low sudah tidak relevan

1. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi amat tepat apabila menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan ahli perniagaan, Jho Low kerana ia tidak lagi relevan.

2. Kenapa Malaysia tidak perlu lagi mengesan Jho Low? Pertama kerana tiada bukti yang menunjukkan Jho Low melesapkan dana 1MDB dan melanggar sebarang undang-undang di Malaysia berkaitan isu 1MDB. Kedua, kerana terbukti melalui prosiding dan Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), tiada wang 1MDB yang dicuri oleh mana-mana pihak. Ketiga, jika terdapat bukti bahawa Jho Low melesapkan atau mencuri wang 1MDB, sudah pasti PAC yang turut dianggotai ahli Parlimen pembangkang telah memanggil Jho Low untuk disoal dalam prosiding berkenaan 1MDB atau mencadangkan agar pihak berkuasa menyiasatnya seperti cadangan PAC untuk menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

3. Kenapa FBI dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) masih menyiasat Jho Low? Pertama, kerana sebelum ini mereka belum membuat siasatan yang lengkap berkaitan kes 1MDB, sebaliknya hanya bergantung kepada aduan yang dibuat kepada mereka sebelum ini. Kedua, kerana mereka mendakwa Jho Low melanggar undang-undang AS. Maka memang wajar mereka menyiasat Jho Low. Pihak berkuasa negara lain juga wajar berbuat demikian jika didapati Jho Low melanggar undang-undang negara mereka.

4. Benarkah wang 1MDB dicuri? Sehingga kini, tiada bukti wang 1MDB dicuri. Pendakwa raya kes yang dikatakan berkaitan 1MDB di Singapura juga tidak pernah memanggil 1MDB sebagai saksi pendakwa untuk mengesahkan bahawa duit 1MDB yang dicuri dan digubah di sepanjang perbicaraan kes di mahkamah Singapura.

5. Sehingga sekarang, bukan 1MDB yang membuat aduan kehilangan wang, sebaliknya dana kekayaan Abu Dhabi, iaitu IPIC dan syarikatnya Aabar PJS. Ada dakwaan bahawa Jho Low mempunyai kaitan dengan bekas pegawai-pegawai syarikat IPIC dan Aabar PJS. Namun sehingga kini, tiada berita bahawa pihak berkuasa Abu Dhabi berusaha mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan dan menangkap Jho Low untuk dibicarakan di negara tersebut.

Oleh:
Tun Faisal Ismail Aziz

Saturday, October 7, 2017

Kes di mahkamah Singapura bukan kes #1MDB

Ramai yang ingin merujuk tulisan saya pada 12 November 2016 mengenai perbicaraan di mahkamah Singapura yang didakwa berkaitan wang 1MDB yang dicuri tetapi memaklumkan bahawa tulisan saya ini sukar dicari. Sebenarnya saya menulis komen mengenai perbicaraan di Singapura ini di Facebook, jadi memang agak sukar nak dicari. Hanya ada dua portal yang melaporkannya secara penuh, iaitu TV14 dan MyKMU. Jadi saya masukkan di dalam blog hari ini supaya lebih mudah dirujuk di masa depan.

Ini tulisan saya pada 12 November 2016 mengenai kes di Singapura:-

Bekas Pegawai BSI mengaku salah? Memang wajar dia mengaku bersalah.

Katakan kita membeli unit amanah ASB melalui Maybank. Kita bayar RM1,000 kepada Maybank. Maybank menjual 1,000 unit ASB kepada kita dan wang tersebut diserahkan kemudiannya kepada PNB, yang menyerahkan urusan pelaburan wang sebanyak RM1,000 ini kepada PENGURUS DANA yang dilantiknya. Jika pegawai Maybank atau pegawai PNB atau pengurus dana menyelewengkan wang tersebut, adakah duit kita yang diselewengkan atau adakah duit Maybank atau PNB yang diselewengkan?

Ambil konteks yang sama, 1MDB melaburkan AS$3.5 bilion sementara menunggu projek yang berkaitan dana tersebut dilaksanakan. Dana ini diserahkan kepada BSI dan BSI melaburkannya melalui PENGURUS DANA yang dilantik oleh mereka. Jika ada pegawai BSI ini tidak menyerahkan duit pelaburan ini kepada PENGURUS DANA atau jika pegawai BSI dan pengurus dana ini menyelewengkan sebahagian daripada wang pelaburan tersebut, adakah duit 1MDB yang hilang atau duit BSI atau duit PENGURUS DANA yang hilang?

Begitu jugalah dengan kes-kes yang melibatkan bank-bank lain di Singapura yang dikatakan berkaitan 1MDB.

1MDB tiada akaun bank di Singapura dan tiada akaun 1MDB yang dibekukan. Istilah yang dispin oleh media adalah '1MDB linked account' atau "1MDB linked fund", tetapi tidak pernah media menyebutnya sebagai "1MDB account" atau "1MDB fund".

Atas sebab itu juga bagaimanakah Peguam Negara hendak membantu jika ia bukan dana atau akaun 1MDB tapi lebih merupakan kes akaun dan dana BSI serta salah laku pegawai-pegawainya?

Sebelum ini The Guardian ada melaporkan:-

"The Monetary Authority of Singapore (MAS) said it had ordered Falcon Bank to cease its operations in the city-state because of a “persistent and severe lack of understanding” of Singapore’s money laundering controls.

The MAS announced it had also fined DBS and UBS for similar violations. "The control lapses observed in DBS and UBS relate to specific bank officers who failed to carry out their duties effectively,” the MAS said, adding that it did not find “pervasive control weaknesses” in these banks.

DBS was ordered to pay SG$1m (£593,000/US$730,000) for 10 violations while UBS was ordered to pay SG$1.3m for 13 violations.

The regulator in May kicked out Swiss bank BSI for similar violations – the first time it ordered a bank to shut in 32 years."

Abaikan cubaan untuk mengaitkan dengan 1MDB kerana ia hanyalah spin media.

Ayat yang paling penting - “persistent and severe lack of understanding” of Singapore’s money laundering controls." --> Inilah kelemahan pengurusan bank tersebut dan atas sebab inilah ia diarahkan untuk ditutup. Bukan atas sebab lain, termasuk 1MDB.

Bukan Falcon Bank sahaja yang mempunyai kelemahan ini, tetapi Development Bank of Singapore (DBS) (10 kesalahan) dan Union Bank of Switzerland (UBS) (13 kesalahan). BSI bank sebelum ini juga diarahkan untuk ditutup berikutan melakukan 41 kesalahan.

MAS menyebut antara kelemahan BSI adalah:

"MAS’ decision to withdraw BSI Bank’s status as a merchant bank takes into account the repetitive lapses as well as the 2015 inspection findings which revealed:

- widespread control failures which led to numerous serious breaches of various anti-money laundering regulations

- poor and ineffective oversight by the senior management of BSI Bank

-unacceptable risk culture, with blatant disregard for compliance and control requirements as well as MAS’ regulations

-numerous acts of gross misconduct by certain staff

41 kesalahan yang dilakukan oleh BSI, 13 kesalahan oleh UBS, 10 kesalahan oleh DBS dan kesalahan2 yang dilakukan oleh Falcon Bank ini adalah kerana kelemahan pengurusan bank-bank terbabit dalam memahami dan mematuhi undang-undang Akta Penggubahan Wang Singapura. Mengaitkannya dengan 1MDB adalah berniat jahat.

Friday, September 22, 2017

DIPLOMASI NAJIB vs DIPLOMASI MAHATHIR

1. Ternyata Tun Dr Mahathir Mohamad tidak senang hati dengan lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat (AS) dan layanan mesra Presiden AS, Donald Trump terhadap beliau. Dalam tulisan terbarunya, 'Najib dan Trump", Mahathir cuba memperlekehkan pertemuan Najib-Trump dan menggambarkan bahawa layanan AS terhadapnya jauh lebih baik berbanding layanan yang diterima Najib.

2. Mahathir sepatutnya tidak mengulas mengenai lawatan ini dan menulis "saya tidak tahu" sahaja. Baharulah nampak konsisten dengan jawapan yang diberikan semasa prosiding RCI Forex. Hanya mereka yang tidak melalui zaman Mahathir dan Najib sahaja yang percaya propaganda LAYANAN AS TERHADAP MAHATHIR JAUH LEBIH BAIK DARIPADA LAYANAN TERHADAP NAJIB.

3. Mahathir mungkin keliru dan tidak dapat membezakan  lawatannya ke AS semasa era Presiden Ronald Reagan pada tahun 1984 dan Presiden George Bush Jr. pada tahun 2002. Pada tahun 1984, Perang Dingin antara Blok Barat dan Blok Timur masih wujud dan adalah menjadi dasar luar AS untuk berbaik-baik dengan negara bukan komunis seperti Malaysia. Ini menjelaskan kenapa duta AS cuba mengatur pertemuan Reagan-Mahathir seawal tahun 1981 walaupun Mahathir belum ada sebarang pencapaian sebagai PM ketika itu.

4. Keadaan berbeza selepas Perang Dingin berakhir pada tahun 1991. Dalam era Order Baru Dunia, sikap AS jauh berbeza. Mahathir tidak lagi menerima sebarang jemputan untuk bertemu Presiden AS selepas itu dan tiada Presiden AS yang berkunjung ke Malaysia bertemu Mahathir. Tidak mungkin AS akan memberi layanan yang baik kepada seorang pemimpin 'diktator' yang memecat anak emas AS, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan yang dipersalahkan kerana meng'izin'kan tragedi 'mata lebam' Anwar berlaku.

5. Malah lebih buruk lagi, semasa era Presiden Bill Clinton, Mahathir dimalukan di negaranya sendiri apabila Naib Presiden AS, Al Gore menyelarnya sebagai pemimpin yang menyekat kebebasan semasa Sidang Kemuncak APEC 1998. New York Times bertarikh 17 November 1998 menggunakan tajuk "GORE, IN MALAYSIA, SAYS ITS LEADERS SUPPRESS FREEDOM". Insiden memalukan ini turut dilaporkan oleh banyak media cetak dan elektronik utama di negara-negara lain ketika itu. Mengambil kira ketegangan hubungan AS-Malaysia semasa itu, memang masuk akal sekiranya timbul dakwaan bahawa Mahathir terpaksa membayar jutaan dollar untuk bertemu Bush Jr.

6. Justeru, tidak perlu Mahathir mengulas panjang lebar mengenai aspek protokol lawatannya. Memang dijangka Reagan dan Bush akan berpegang kepada protokol yang lebih ketat apabila melayani kunjungan Mahathir kerana di mata mereka, Mahathir hanya 'Perdana Menteri sebuah negara' dan bukan 'rakan' mereka.

7. Berbeza dengan di zaman Najib, hubungan AS-Malaysia jauh lebih mesra. Presiden Barack Obama melawat Malaysia sebanyak dua kali iaitu pada 2014 dan 2015 tanpa khidmat pelobi atau dibayangi Perang Dingin. Malah Obama melonggarkan protokol untuk bermain golf dengan Najib sehari sebelum Hari Krismas semasa percutian mereka di Hawaii.

8. Hubungan Najib-Trump lebih akrab. New York Times pada 12 September 2017 melaporkan "pada tahun 2014, mereka (Trump dan Najib) bermain golf di kelab Trump di Bedminster, New Jersey. Selepas permainan, Trump menghadiahkan tetamunya gambar mereka berdua yang tertulis ayat “To my favorite Prime Minister.”

9. Malay Mail, 13 September 2017 pula melaporkan bahawa "selepas pertemuan, Trump melanggar protokol apabila menghantar Najib terus ke pintu hadapan White House. Amalan biasa Presiden hanya sekadar menghantar ke pintu Oval Office. Apabila diingatkan oleh pegawai-pegawainya, Trump membalas, "dia adalah kawan saya."" Adakah Mahathir dilayan begitu?

10. Propaganda portal pro-Pakatan untuk menggambarkan Mahathir menerima layanan yang lebih baik daripada AS adalah cubaan menyedihkan yang bertentangan dengan kewarasan minda ramai pihak kerana tidak mungkin diplomasi Mahathir lebih baik daripada diplomasi Najib.

11. Umum mengetahui, diplomasi bukan kekuatan Mahathir. Di zamannya, Malaysia mempunyai hubungan yang tegang dengan AS dan Australia. Malah turut berlaku pertelagahan dengan negara jiran seperti Singapura. Atas sebab itu, jika ditanya sekali lagi mengenai soal diplomasi, terutama yang melibatkan AS, mungkin lebih baik Mahathir jawab sahaja, "saya tak tahu."

Tun Faisal Ismail Aziz

Monday, September 11, 2017

BUKAN PUAD, TAPI ANWAR YANG SEPATUTNYA DIDAKWA MENCELA SAKSI DAN MENGHINA RCI

1. Selepas meneliti kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Ogos 2017, yang disiarkan Malaysiakini menerusi laporan bertajuk "Anwar tuntut hak jawab 'tuduhan jahat' Murad", berbanding pertanyaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia Datuk Dr Hj Mohd Puad Zarkashi, didapati kenyataan Anwar lebih berat lagi dan menepati tafsiran kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

2. Di dalam laporan tersebut, Malaysiakini melaporkan reaksi balas Anwar terhadap kenyataan yang dibuat oleh bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid semasa prosiding RCI pada 21 Ogos. Anwar, seperti laporan Malaysiakini mendakwa kenyataan Murad adalah "palsu belaka".

3. Selain mendakwa Murad menipu, Anwar turut mendakwa bahawa, "kenyataan Abdul Murad itu bernada sindiran, berniat jahat dan menunjukkan seolah-olah mahu kerugian dialami Bank Negara ditutup daripada pengetahuan ramai."

4. Anwar sekali lagi menyerang Murad dan menggambarkan beliau sebagai penipu apabila menyatakan "Abdul Murad mulai memusuhi saya (Anwar) secara peribadi sejak 1999 apabila beliau membuat akuan berkanun palsu terhadap saya.

5. Nada dan dakwaan Anwar ini nampaknya lebih menepati deskripsi kesalahan di bawah Seksyen 12(2), iaitu "mencela mana-mana orang kerana telah memberikan keterangan, atau disebabkan oleh keterangan yang telah diberikan di hadapan Pesuruhjaya."

6. Selain Anwar,  Majlis Peguam juga pernah melakukan kesalahan menghina Suruhanjaya RCI.

7. Malaysiakini pada 23 Julai 2011 melalui laporan bertajuk "K'jaan harus mohon maaf kata Majlis Peguam" melaporkan bahawa Majlis Peguam menolak penemuan Suruhanjaya Diraja yang mendapati pembantu politik DAP Teoh Beng Hock membunuh diri.

8. Portal itu juga memetik kenyataan, presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee yang mahu kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon maaf kepada keluarga Teoh dan memberi pampasan sewajarnya atas kehilangan mereka itu.

9. Datuk Khairuddin Abu Hassan mungkin tidak memahami perkara ini tetapi agak pelik jika Mohd Haniff Khatri Abdulla juga tidak memahaminya. Adalah lebih wajar jika Mohd Haniff dan Khairuddin  meneliti terlebih dahulu Seksyen 12(2) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 sebelum mendakwa kenyataan Puad melanggar maruah, kesucian dan kedudukan RCI. Selepas membaca Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 tersebut bolehlah mereka berdua membuat laporan polis dan meminta RCI menyiasat serta menghukum Anwar dan Majlis Peguam pula.

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

Saturday, September 9, 2017

Sikap Nor Mohamad Yakcop yang akan 'mencederakan' dirinya, bukan 'kenyataan' Puad

1. Kenyataan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram bahawa "kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Dr Hj Mohd. Puad Zarkashi boleh mendatangkan kesalahan mengancam, menghina atau mencederakan saksi" amat pelik dan melucukan.

2. Bagaimanakah pertanyaan Dr Mohd Puad boleh dianggap 'mengancam, menghina atau mencederakan' saksi. Setidak-tidaknya Sri Ram sedar bahawa komen Dr Mohd Puad itu bukan suatu 'penghinaan' di bawah Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

3. Dr Mohd Puad memulakan kenyataan beliau dengan pertanyaan, "apakah penjelasan Nor Mohamed Yakcop kepada RCI melalui kenyataan bertulisnya itu menandakan bahawa dia bersedia menjadi kambing hitam dalam skandal yang sudah lama tertutup?"

4. Menggunakan, kenyataan Nor Mohamed sendiri, Dr Mohd Puad, menyatakan, "dia (Nor Mohamed) mengaku bertanggungjawab di atas kerugian besar itu, tetapi menafikan semua keputusan berkaitan urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara sekitar 1990an itu ditentukan oleh dia secara bersendirian. Maksudnya ada orang lain terlibat. Siapakah orang itu?"

5. Soalan Dr Mohd Puad itu adalah mengenai siapakah pihak yang layak dan berkuasa memberi kelulusan kepada Nor Mohamed, seorang pengurus bahagian biasa di Bank Negara membuat dagangan melebihi had, iaitu melebihi AS$1 bilion sehari (berdasarkan kenyataan saksi Azman Mat Ali). Tidak masuk akal seorang pengurus biasa mempunyai kuasa membuat dagangan melebihi AS$1 bilion sehari dan boleh meneruskan dagangan sebesar ini bertahun-tahun lamanya biarpun selepas mengalami kerugian.

6. Sejak bila suatu 'pertanyaan' dari orang awam boleh mengancam dan mencederakan saksi?

7. Sebenarnya sikap Nor Mohamed sendiri yang bakal meletakkan dirinya dalam bahaya. Lebih-lebih lagi selepas lebih ramai saksi, termasuk Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kenyataan.

8. Berdasarkan kenyataan saksi-saksi semasa prosiding RCI, setakat hari ini, umum mengetahui bahawa:-

i. Urus niaga mata wang asing Bank Negara tidak mematuhi peruntukan mengikut Akta Bank Negara Malaysia 1958 (P Kanason Pothinker dan Tan Sri Ainum Mohamed Saaid)

ii. Terdapat arahan 'orang atasan' agar Ketua Audit Negara tidak campur tangan dalam urus niaga tersebut (P Kanason)

iii. Jumlah dagangan melebihi AS$1 bilion (bukan RM1 bilion) sehari melanggar had maksimum, iaitu AS$30 juta (Azman Mat Ali)

iv. Sejak 1988-1994, Bank Negara hanya untung sekali, iaitu RM2.47 bilion pada tahun 1990, tetapi rugi RM35 bilion (1988,1989, 1991,1992,1993 dan 1994) (Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz)

v. Kerugian dilaporkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir (Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Clifford Francis Herbert)

vi. Menteri Kewangan melaporkan jumlah kerugian pada tahun 1993 HANYA RM5.7 bilion kpd kabinet dan di Parlimen (Anwar Ibrahim) sedangkan kerugian sebenar adalah RM15.291 bilion (Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Tan Sri Saw Choo Boon)

vii. Anwar mahu memecat Nor Mohamed kerana telah melangkaui batas had dagangannya dan memberi laporan yang tidak tepat (Anwar Ibrahim)

9. Selain kenyataan-kenyataan saksi, umum sedia maklum bahawa pada 24 September 2012, di Parlimen, Anwar pernah mendakwa bahawa Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Jaafar Hussein memaklumkan kepadanya bahawa kegiatan urus niaga matawang asing dikendalikan oleh Nor Mohamed dengan kelulusan yang diberi oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

10. Bukankah semua kenyataan saksi-saksi ini sama sekali tidak menyebelahi Nor Mohamed?

Thursday, July 6, 2017

Tuan Ibrahim perlu baca Laporan PAC dahulu sebelum jawab Puad Zarkashi

1. Jawapan balas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap komen Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kepada kritikan awal beliau mengenai isu Suruhanjaya Diraja (RCI) membuktikan Timbalan Presiden PAS itu tidak memahami isu sebenar Laporan Audit Negara berkaitan 1MDB dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

2. Sebenarnya tiada keperluan mendedahkan laporan audit 1MDB kerana dapatan Jabatan Audit Negara (JAN) telah diteliti oleh setiap anggota PAC. Anggota PAC juga telah memanggil setiap pihak yang berkaitan dalam prosiding dan bertanya soalan yang berkaitan dengan dapatan JAN. Kesemua dapatan JAN dan PAC ini juga sudah dimasukkan dalam Laporan PAC setebal 106 mukasurat. Tuan Ibrahim hanya perlu membaca Laporan PAC untuk mendapatkan maklumat semakan audit yang diperlukan. Jika diberikan Laporan Audit 1MDB kepada Tuan Ibrahim sekalipun, belum tentu dia memahaminya dan dia juga tidak mampu memanggil pihak yang terlibat untuk bertanya soalan dan mendapatkan penjelasan lanjut kerana dia tidak mempunyai mandat seperti yang diberikan kepada PAC untuk berbuat demikian. Akhirnya dia akan berpolemik sendiri dan bertanya  perkara-perkara yang tidak difahaminya di media sosial. Tuan Ibrahim perlu sedar bahawa tugas untuk meneliti Laporan Audit 1MDB telah dilaksanakan oleh anggota PAC dan dia boleh mendapatkan maklumat lanjut dari wakil pembangkang yang menjadi anggota PAC ataupun membacanya di dalam Laporan PAC dan hansard prosiding.

3. Masalah Tuan Ibrahim adalah dia tidak membaca Laporan PAC dan tidak membaca hansard prosiding PAC. Jika dia membaca hansard prosiding PAC ke atas Juruaudit Deloitte, dia akan mendapati berdasarkan Laporan Audit JAN, anggota PAC telah bertanya pelbagai soalan kepada Juruaudit Deloitte. Juruaudit Deloitte dapat mempertahankan dapatan mereka dan menjelaskan bahawa mereka telah bertemu setiap pihak yang terlibat termasuk IPIC, PetroSaudi, BSI dan pengurus-pengurus dana terbabit bagi mengesahkan setiap butiran dalam laporan audit yang mereka sediakan. Soal JAN tidak dapat mengesahkan sesuatu butiran tidak berbangkit kerana Juruaudit Deloitte dapat mempertahankan setiap butiran yang dibangkitkan oleh JAN apabila disoal oleh anggota PAC.

4. Soal berkaitan Jho Low eloklah Tuan Ibrahim bertanya sendiri dengan anggota-anggota PAC. Anggota PAC mempunyai justifikasi mereka sendiri untuk memanggil pihak yang terlibat atau tidak memanggil pihak yang tidak dapat dibuktikan penglibatan mereka secara langsung dengan 1MDB.

5. Mengenai Sarawak Report, saya yakin jika portal berita tersebut mempunyai berdaftar dan beroperasi di Malaysia sudah pasti tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka seperti tindakan yang telah diambil ke atas portal berita yang beroperasi dan berdaftar di Malaysia. Tindakan juga boleh diambil ke atas Wall Street Journal jika mereka beroperasi di sini serta membuat tuduhan secara jelas. Pastinya Tuan Ibrahim tidak pernah membaca artikel WSJ yang berkaitan kerana jika dia membaca artikel tersebut, dia akan tahu bahawa WSJ tidak berani membuat sebarang tuduhan secara jelas sebaliknya hanya melaporkan maklumat dari sumber-sumber yang tidak dinamakan.

6. Eloklah Tuan Ibrahim menjawab terlebih dahulu soalan kenapakah DOJ tidak berani membuat pendakwaan jenayah ke atas setiap individu yang dinamakan di bawah Akta Penggubahan Wang Haram AS jika benar mereka mempunyai bukti prima facie sebaliknya hanya berani memfailkan saman sivil.

7. Tuan Ibrahim juga wajar menjawab kenapa DOJ tidak menyiasat IPIC, Aabar, PetroSaudi dan pegawai-pegawai ketiga-ketiga syarikat tersebut kerana jelas IPIC menyatakan bahawa dana syarikat itu telah diselewengkan dan DOJ pula melaporkan bahawa PetroSaudi turut terlibat dalam kegiatan penggubahan wang.

8. Akhir sekali Tuan Ibrahim wajar menjawab adakah kes saman sivil ini telah dibicarakan? Adakah mahkamah AS telah memutuskan siapakah yang bersalah dan harta siapakah yang telah dirampas? Jika perbicaraan masih belum dimulakan dan mahkamah belum memutuskan siapa yang bersalah, kenapa pula Tuan Ibrahim mahu RCI ditubuhkan di Malaysia? Bukankah DOJ sendiri menyatakan aduan yang digunakan untuk saman sivil ini tidak membuktikan apa-apa melainkan selepas mahkamah AS membuat keputusan? Adakah Tuan Ibrahim faham maksud kenyataan DOJ ini?

Tun Faisal Ismail Aziz

Popular Posts